image

image

Monday, November 30, 2009

Korban - eid adha

berkorban itu biarlah benar-benar selaras dengan tuntutan Rasulullah s.a.w.

Dalam satu riwayat daripada Aisyah, disebutkan bahawa Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Tidaklah keturunan Adam melakukan suatu perbuatan pada hari nahr yang lebih dicintai Allah selain mengalirkan darah (menyembelih haiwan korban). Haiwan sembelihan itu akan datang pada hari Kiamat membawa tanduknya, kukunya, dan bulunya. Sesungguhnya darah haiwan sembelihan itu sampai kepada Allah lebih dahulu daripada sampai ke tanah. Maka sucikanlah diri kamu dengannya.” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tarmizi).

sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: ”Barang siapa yang mempunyai keluasan rezeki, lalu tidak berkorban, maka janganlah mendekati tempat solat kami.” (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam satu peristiwa yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibnu Majah daripada Zaid bin Arqam, pernah seorang sahabat bertanya kepada baginda:

‘‘Wahai Rasulullah, apakah erti korban ini?” tanya sahabat.

‘‘Itulah sunnah daripada datukmu Ibrahim,” jawab Rasulullah.

“Apakah keuntungan korban itu untuk kita?” tanya sahabat itu lagi.

‘‘Setiap helai bulu haiwan korban itu merupakan satu kebaikan (hasanah),” jawab Rasulullah.

”Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar, sebagai tebusan ke atas Ismail a.s.” (As-Shaffat: 107)

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) daripada yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): “Sesungguhnya aku akan membunuhmu.” (Habil) menjawab: “Hanyalah Allah menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa.” (Al-Maidah: 27)

maka segala bentuk pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam pada hari-hari yang lain juga dapat disebut pengorbanan apabila disertai oleh ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Saturday, November 14, 2009

LEBIH BAIK DIAM SAJA

"Rasulullah s.a.w sedang duduk – duduk bersama Sayidina Abu Bakar as – Siddiq. Datang seorang lelaki lalu memarahi dan mencaci – hamun Sayidina Abu Bakar. Sahabat mulia itu diam sahaja, tenang mendengar tohmah dan seranah yang dihamburkan kepadanya. Melihatkan Sayidina Abu Bakar tidak bertindak apa – apa, lelaki itu menjadi semakin berang.

Suaranya semakin lantang mengherdik dan menengking Sayidina Abu Bakar. Namun, caci dan makian itu tidak juga menyebabkan Sayidina Abu Bakar marah. Apa lagi bertindak balas. Beliau duduk diam sahaja di samping Rasulullah s.a.w. Dibiarkan lelaki yang tidak dikenali itu terus galak dengan perangai bodohnya.

Barangkali berasa malu kerana gagal membuatkan Sayidina Abu Bakar bertindak sesuatu, lelaki itu mencaci sekali lagi. Kali ini lebih hebat dan lebih keras. Dituduh, dikeji dan difitnah dengan pelbagai tuduhan serta bahasa yang sungguh kesat, sehingga sahabat mulia itu berasa maruahnya tercabar.

Akhirnya perlahan – lahan Sayidina Abu Bakar bingkas. Melihat Sayidina Abu Bakar telah bangun, Rasulullah s.a.w yang sedari tadi berdiam tenang pun ikut bangun. Spontan menarik perhatian Sayidina Abu Bakar, lalu beliau pun bertanya, “ Wahai Rasulullah ! Adakah kau juga mahu membelaku ?”

“Tidak,” jawab Rasul sepatah. “Waktu engkau berdiam diri tadi, malaikat berdiri di sampingmu untuk menafikan kata – kata lelaki itu. Tetapi apabila engkau bangkit untuk menjawab caciannya, malaikat pun beredar meninggalkanmu. Sekarang yang datang adalah syaitan.

Untuk apa syaitan datang ? Untuk mengapi – apikan lagi suasana yang sudah mulai panas. Untuk melagakan lagi keretakan yang sudah mulai pecah dan menyerpih.

Allah s.w.t mengingatkan dalam firman Nya : “ Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak berfaedah, mereka berpaling daripadanya dan berkata, “ Bagi kami amal – amal kami dan bagimu amal – amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang – orang yang jahil. ( Al – Qassas : 55 )