image

image

Saturday, June 6, 2015

Bila ALLAH Redha, Amalmu diterimaNya

Syarat untuk diterima amalan ibadah seseorang muslim di sisi Allah :

1. Ikhlas. (Niat dan tujuannya hanya kerana Allah)

2. Ibadah yang dilakukan mengikuti apa yang ditetapkan oleh Allah di dalam al-Qur’an serta mengikuti dengan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah
sallallahu `alaihi wa sallam di dalam sunnahnya.

Jika seseorang itu mendirikan solat tetapi dia tidak ikhlas, maka ia tidak diterima oleh Allah.

Demikan juga jika seseorang itu ikhlas dalam mendirikan solat tetapi cara solatnya salah, maka ia tidak diterima oleh Allah.

"Sesungguhnya Allah tidak akan menerima amal kecuali amal yang dilaksanakan dengan ikhlas dan dilakukan semata-mata untuk mengharap redha Allah. (HR Abu Daud dan An-Nasa'i)

Rasulullah sallallahu `alaihi wa sallam bersabda, “Sesiapa melakukan suatu amalan yang bukan dari ajaran kami, maka amalan tersebut tertolak.” (HR. Muslim no. 1718)


Kita sambung sedikit lagi, semuga kalian mahulah berfikir:

Dalam beribadah kepada Allah seseorang akan merasakan nikmat kedamaian dalam jiwanya jika ibadahnya diterima oleh Allah. Hati mereka menjadi tenteram bahkan segala ativiti harian yang dilakukannya diserahkan kepada ketentuan dan takdir Allah, setelah itu apapun ganjaran yang diterimanya diterima dengan perasaan redha.

Jika perasaan redha dan sabar telah menyatu dalam kehidupan dan keperibadian seseorang maka ini suatu bukti bahawa amalan yang dilakukannya itu diterima oleh Allah. Tetapi jika mereka tergolong orang yang taat mengerjakan ibadah,namun pada masa yang sama masih melakukan pekerjaan mungkar dan terkutuk, sehingga tidak meninggalkan bekas dalam hati dan kehidupannya. ini membuktikan bahawa amalannya tidak diterima oleh Allah.

Contoh lain, umpamanya dalam ibadah solat dengan tegas Allah jelaskan “bahawa solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar”. Namun dalam praktiknya ramai orang mengerjakan solat tetapi pada masa yang sama melakukan kemungkaran, ini suatu bukti bahawa tanda-tanda amalan solatnya tidak diterima oleh Allah. Kerana ibadah solatnya tidak memenuhi ketentuan yang telah digariskan oleh Allah SWT tadi.

Begitu juga dalam ibadah haji, jika seseorang setelah kembalinya daripada tanah suci memiliki keperibadian yang mulia dan berubah dari kurang baik kepada yang lebih baik, ini membuktikan bahawa hajinya tergolong haji yang mabrur ertinya hajinya diterima oleh Allah. Tetapi ada juga sekembalinya dari tanah suci keperibdiannya lebih jahil daripada sebelumnya, ini membuktikan bahawa hajinya adalah haji mardud ertinya amalannya ditolak oleh Allah SWT.

Puncak dari diterimanya amalan seseorang itu adalah hati mereka menjadi aman dan tenteram dengan mengingat Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya: “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah hanya dengan mengingat Allah lah hati menjadi tenteram”. (Ar ra’d ayat 28)


Apabila kita mengkaji kata kata Hikam,hendaklah ada guru mencerahkannya:

BARANGSIAPA YANG DAPAT MERASA BUAH DARI AMALNYA SEKARANG (DI DUNIA) IA MENJADI BUKTI DITERIMA AMALNYA KELAK (DI AKHIRAT)
 
Buah dari amal adalah kesan yang lahir dari amal kebaikan yang dilakukan. Kesan itu menjadi tanda menunjukkan sama ada amal seseorang itu diterima oleh Allah s.w.t atau tidak. Banyak ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w yang menceritakan tentang tanda-tanda yang boleh dibuat ukuran tentang amal yang dilakukan. 

Misalnya Rasulullah s.a.w bersabda:
Barangsiapa tidak dicegah oleh sembahyangnya dari melakukan perbuatan keji dan munkar, maka dia tidak bertambah dekat dengan Allah s.w.t, bahkan bertambah jauh.
 
 Sembahyang yang diterima oleh Allah s.w.t adalah sembahyang yang mendekatkan orang yang melakukannya kepada Allah s.w.t dan tandanya adalah orang itu dilindungi dari terjerumus melakukan perbuatan keji dan munkar. Andaikata mata hati dapat melihat nescaya akan kelihatan sembahyang dan  amal kebaikan yang lain, mengeluarkan nur-nur yang menjadi tentera melindungi orang yang berbuat sembahyang dan kebaikan itu daripada percubaan tentera musuh menjatuhkannya ke dalam lembah kekejian dan kemunkaran. Orang tersebut kadang-kadang terlintas juga dihatinya untuk melakukan maksiat, tetapi nur-nur yang menjadi tentera amal kebaikan bertindak menghindarkannya daripada melakukan maksiat yang ingin dilakukannya itu, hinggakan dia sendiri hairan bagaimana dia boleh terselamat padahal dia sudah berada di hadapan pintu maksiat. Tentera nur tersebut bukan setakat mengawal kejahatan daripada menghampiri tuannya bahkan ia juga sering menarik tuannya kepada kebaikan hinggakan orang itu selalu berpeluang berbuat kebaikan tanpa dirancang dan dia selalu berasa hairan bagaimana bila ada sahaja kerja kebaikan maka tiba-tiba dia ikut serta melakukannya sedangkan tiada sesiapa menjemputnya untuk melakukan pekerjaan itu. Inilah yang dinamakan buah daripada amal kebaikan. Jika dia ikhlas menjaga amal kebaikannya, maka tentera nur yang lahir dari amal itu akan ikhlas pula melindunginya, bukan sahaja ketika di atas muka bumi ini, malah tentera nur itu akan menemaninya di dalam kubur, memberi cahaya dan menghilangkan kesunyiannya.
 
 Orang yang tidak mendapat buah dari amalnya sering ditarik ke arah yang berlawanan. Dia mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat walaupun dia sudah berusaha berungguh-sungguh untuk menjauhkannya. Dia berasa berat untuk beribadat walaupun dia sudah mencuba untuk khusyuk. Walaupun banyak amal kebaikan yang dilakukannya tetapi jika amal itu tidak ikhlas, iaitu tidak ada nyawanya maka dia tidak dapat menghidupkan tentera nur dari amal tersebut, yang boleh menjaganya daripada kebinasaan.
 
 Oleh sebab amal kebaikan orang Mukmin tidak dibalas sepenuhnya semasa dia hidup di dunia ini maka Allah s.w.t menggantikannya dengan sejenis rasa kelazatan dan kepuasan mengiringi amalnya sehingga dia tidak berasa bosan dan tidak berasa rugi kerana beramal. Amal yang salih ditempatkan di Iliyyin yang berhampiran dengan syurga. Walaupun orang Mukmin masih hidup di dunia, amalnya telah pun diangkat ke Iliyyin dan amal itu sudah dapat mencium bau syurga. Keharuman bau syurga itu disalurkan kepada tuannya yang berada di dunia. Oleh sebab itu orang Mukmin sudah dapat mengecap bau syurga sebelum memasukinya dan ketika mereka masih hidup di dunia. Keharuman dan kelazatan imbasan syurga dirasai ketika mereka beramal, terutamanya ketika bersembahyang. Suasana sembahyang mereka seolah-olah mereka berada di dalam syurga, sebab itulah mereka tidak mendengar desiran angin dan tidak sakit ditikam dengan tombak, kerana kelalaian dan kesakitan tidak ada di dalam syurga. Allah s.w.t berfirman:
Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang) perubahan pada janji-janji Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar. 
( Ayat 62 – 64 : Surah Yunus)

Kita ulang mengulang membaca, semuga Allah mengurniakan kefahaman dan dapat mengamalkannya, inshaAllah

2 comments:

  1. Kata sahabat muhammad SAW: Kami Dengar dan Taat

    Kata Rasulullah SAW pada umatnya: Kamu tak akan sesat jika berpegang kepada Allah dan Rasulnya @ berpegang kepada AlQuran dan Sunnah sunnahku dan sunnah khulafak ar rasyidin

    Firman Allah: Pada diri Muhammad SAW itu adalah ikutan yang baik bagi kamu

    Cubalah berfikir agar dapat hidayahNya memahami, semuga dapat beramal denagn Ikhlas kerana kata Allah, Hamba hamba Kami yang Ikhlas, syaitan tidak dapat menguasai, Hanya amalan yang Ikhlas lillahi Billahi, wallahi yang Allah terima

    sesuai dengan Ayat Allah: tiadalah muhammad berkata, melainkan wahyu yang di wahyukanNYA

    Belajarlah Mengenal Allah, Utamakan Pengajian Tauhid dulu agar beramal itu memberi kesan pada hati, mengingat Allah agar dapatlah melihat Allah

    InshaAllah

    ReplyDelete
  2. Barangsiapa menolong Kerja Allah, Allah akan meneguhkan tapak pendiriannya, itulah sebagi dalil Allah menerima amalan kebaikannya

    Utamakan Ilmu Islam semuga dapat beramal dengan kesempurnaan, al maklumlah jika kita abaikan kita akan jatuh menjadi seperti BUIH

    Semuanya menurut ketentuan Allah samada secara Rela atau Terpaksa
    inilah buktinya Allah yakni Kuasa Allah lah berada dalam diri makhluknya

    semuga dapat memahami

    ReplyDelete