image

image

Saturday, November 27, 2010

kepadaMU aku .........................

- Ayat kelima (IYYAKA NA’BUDU WA IYYAKA NASTA`IN).
Maksudnya : Hanya kepada Engkaulah kami menyembah
dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.

`Iyyaka na’budu’- Makna ayat ini seperti kata Ibn Abbas : Kami ibadah kepada-Mu dan tidak ibadah kepada yang lain. Didahulukan kalimah `kepadamu’ daripada kalimah `kami ibadah’, bertujuan kesungguhan prihatin dan orang Arab mendahulukan yang paling penting daripada yang penting seperti jawapan al-Qurtubi. Didahulukan yang kena buat (maf`ul) daripada perbuatan memberi maksud terbatas dan takhsis kepada ini sahaja.
Dalam ibarat yang lain – Ya Allah kepada-Mu saja kami ibadah dan kepada-Mu sahaja kami minta tolong. Bahasa yang digunakan adalah ramai – kami ibadah dan kami minta tolong, sedangkan mungkin pelaku ibadah seorang saja.

Abi Su’ud berkata : Ini kerana pengiktirafan hamba betapa lalai dan cuainya dia ketika berdepan di pintu Raja segala Raja (Allah) yang dimintanya pertolongan hidayah secara perseorangan, seolah-olah dia berkata :
Hai Tuhan, aku hamba yang fakir lagi hina tidak layak untuk munajat-Mu secara bersendirian. Justeru aku sertakan bersama ahli tauhid dan aku berdoa bersama mereka, justeru terimalah doaku bersama mereka. Ini kerana kami semua ibadah kepada-Mu dan meminta pertolongan dengan-Mu.
Syeikh Abdullah Sirajuddin dalam tafsirnya menambah sebab yang lain, iaitu digunakan `kami’ pada ibadah dan meminta tolong sebagai iklan betapa berhajatnya semua untuk ibadah kepada Allah yang menciptakan mereka.

Ibadah pada bahasa ialah kehinaan, ketundukan dan kepatuhan.
Pada syarak pula ialah:
- Perlaksanaan hamba segala perbuatan dan perkataan yang disyariatkan Allah dengan disertakan ketaatan dan ketundukan untuk Tuhannya.

- Ibn Khatir mendefinisikan ibadah pada syarak dengan ibarat daripada himpunan kesempurnaan kasih sayang, tunduk dan takut.

- Ibn Jarir mendefinisikan ibadah ialah, taat, tunduk, patuh dan merendah diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t.; mengakui dan meyakini bahawa Allah sahajalah yang layak menjadi tumpuan segala ketaatan, tunduk patuh, merendah diri, takut dan mengharap.

- Al-Alusi pula mendefinisikan ibadah ialah, tahap tertinggi daripada segala ketundukan dan kepatuhan yang tidak mungkin berlaku dari segi syarak dan akal mengerjakan ibadah selain-Nya.

Ibadah diasaskan kepada beberapa faktor:
- Ma’rifah kepada Allah dan iktikad keEsaannya.
- Taat kepada Allah dengan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang melalui Rasulullah s.a.w.
- Pemerhatian bahawa kesemuanya itu bagi melaksanakan kewajipan hak Allah seperti hadis Muaz yang bersama Rasulullah s.a.w. ditanya tentang hak Allah terhadap hamba dan hak hamba terhadap Allah.

Rahsia ibadah dan kesannya:
Terdapat banyak kelebihan ibadah, antaranya:
- Menghampirkan diri kepada Allah.
- Dengan beribadah, hati, roh dan jasad hamba menjadi sebati dalam ketaatan.
- Dengan beribadah dapat menukar pengabdian yang umum kepada yang khusus.
- Dengan beribadah hamba berada dalam pemeliharaan Tuhan.
- Mendapat kegembiraan daripada Allah.
- Mendapat keamanan daripada Allah.
- Dapat mengecapi kemanisan iman.

`Iyyaka nasta`in’- Oleh kerana hamba semuanya fakir dan berhajat kepada Allah Yang Maha Kaya, Kuasa dan Sempurna, justeru permintaan hendaklah diadukan kepada-Nya juga.
Hadis Mu’az, Nabi bersabda : “Ya Mu`az, aku kasih kepadamu, aku wasiatkan supaya jangan kamu tinggalkan selepas solat doa ini,
`Ya Allah tolonglah aku untuk mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu dan baik dalam beribadah kepada-Mu’.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud).

Meminta doa dan pertolongan kepada Allah merupakan arahan Allah dan Rasul-Nya melalui nas-nas al-Quran dan hadis.

Hikmah didahulukan ibadah daripada meminta tolong ialah:
- Ibadah adalah hak Allah, sedangkan meminta tolong adalah permintaan mereka.
- Doa yang didahulukan dengan ibadah amat mustajab, seperti doa orang berbuka puasa ketika berbuka adalah mustajab kerana ia dilakukan selepas beribadah, iaitu ibadah puasa.
- Ibadah merupakan amanah yang besar yang dipikul oleh manusia, meminta tolong kepada Allah nescaya Allah menolongnya sehingga dapat ditunaikan hak ibadah dan dapat keluar daripada kezaliman dan kejahilan.
- Konsep ibadah merupakan asal matlamat ciptaan jin dan manusia, justeru perlaksanaannya dengan meminta doa dan meminta pertolongan kepada Allah hingga akhir hayat.

No comments:

Post a Comment