Melayu itu orang yang bijaksana, Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira, Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan, Bila mengampu bijak beralas tangan
Melayu itu berani jika bersalah, Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut, Selalu pecah di mulut
Biar mati adat, Jangan mati anak
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)
Dalam sejarahnya, Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman, Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya, Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya, Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak, Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai, Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga, Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba, Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi, Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri, Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun, Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam, Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak
Watak Melayu menolak permusuhan, Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga, Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan, Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali, Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut, Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan, Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan, Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan, Anak di pangkuan mati kebuluran”
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu, Masihkan tunduk tersipu-sipu ?
Jangan takut melanggar pantang, Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan, Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan, Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana, Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya, Menjadi tuan di negara Merdeka
- USMAN AWANG
Melayu = bangsa - bangsa bersatu yang berugama ISLAM, berbahasa Melayu serta menetap atau pernah menetap di rantau Nusantara. Kalau dah kuar Islam maknanya dah bukan Melayulah... seperti mana maksud Aceh itu bangsa - bangsa Arab, Cina, Eropah dan Hindi yang berugama ISLAM...
No comments:
Post a Comment