image

image

Saturday, May 24, 2014

Rukun Syahadah - soalan dan jawapan.

soal-jawab, bagi lebih mudah dan mendekatkan fahaman ( S- soalan; J- jawapan ) - saksikanlah
 
1] S: Berapakah Rukun Syahadah?
  J: Rukun Syahadah itu 4 perkara, seperti berikut:
   A] Mengisbatkan Dzat Allah Taala; b] Mengisbatkan Sifat Allah Taala; c] Mengisbatkan Af’aal Allah Taala; d] Mengisbatkan Kebenaran Rasulullah.  
2] S: Apakah erti Rukun?
  J: Rukun itu adalah dasar kepercayaan; bererti, Rukun Syahadah adalah dasar kepercayaan atau pegangan Akidah dalam Syahadah.
 
3] S: Apakah Rukun pertama dalam Syahadah?
  J: Mengisbatkan Dzat Allah Taala.
 
4] S: Apakah erti isbat?
  J: Ertinya ialah menetapkan. Misalannya, mengisbatkan Si-Zaid berdiri dan menafikan beliau duduk.
 
5] S: Bagaimana Isbat kepada Dzat Allah Taala?
  J: Bermula mengisbatkan Dzat Allah Taala, yaitu membenar dan menetapkan Dzat itu dengan tidak adanya bandingan dan sekutunya; berSifat Kesempurnaan, tidak terhingga, Maha Kaya dan Maha Suci dari sebarang sifat kekurangan. Maha Esa dan Tunggalnya Dzat Allah itu sehingga wujud selain dariNya adalah bersifat majazi sahaja!  Allah berfirman didalam surah Al-Ikhlas, bermaksud:
‘ Katakanlah [Muhammad],’Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. [Allah] tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang seumpama/setara denganNya.’
  ‘ Tuhan ada dan tak ada apa-apa disampingNya.’
Telah tetap adanya Allah dan tidak ada sesuatu pun sertanya Allah. Dia sekarang adalah pada apa-apa yang telah tetap adanya atasNya.  
 
6] S: Adakah wajib Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu?
  J: Ya wajib bagi setiap Muslim Mukallaf, lelaki dan perempuan Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu.
 
7] S: Bolehkah mengisbatkan barang yang tiada dilihat itu?
  J: Ya, boleh diisbatkan dengan sekira-kira ‘iktikad keimanan dan keyakinan kita, bahkan dilihat dengan mata hati.
 
8] S: Dengan sebab apakah didapati ‘iktikad yang demikian itu?
  J: Adalah dengan jalan mengenal segala Sifat-SifatNya dan menjalani Jalan orang-orang Sodiqin.
Sila lihat Q.S.9:119, bermaksud:
‘ Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama dengan orang-orang yang benar [Para Sodiqin].
 
9. S: Apakah sebabnya dapat Mengisbatkan dengan mengenal Sifat?
  J: Kerana dengan mengenal Sifat Allah, dapatlah Mengisbatkan Dzat, oleh kerana Sifat itu berdiri  kepada Mausuf.
 
10. S: Manakah yang dinamakan Jalan orang-orang yang Sodiqin?
   J: Yaitulah Jalan orang-orang yang bersungguh-sungguh  hati Rohani  mereka, zahir dan batin menjalani dan beramal dengan amalan TareqatSufiyah, sehingga mencapai Hakikat dan Ma’rifat, yang dengannya dapatlah mereka Mengisbatkan Dzat Allah Taala dengan tahkik dan setetap-tetapnya [istiqamah]. Seandainya belum lagi, hendaklah kita terus mencari sehingga mendapatkan WASILAH dan JALAN menuju ke Allah, walhal kita sering memohon 17 kali didalam Al-Fatihah, didalam Solat, sehari semalam, bahkan sepanjang hayat kita, agar Allah menunjukkannya. Nah! Sudahkah Allah menunjukki agar kita memperolehinya dan beramal dengannya?
Sila lihat Q.S.5:35 , bermaksud:
‘ Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah WASILAH [JALAN] untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berJihadlah [berjuanglah di-JALANNya] agar kamu beruntung.’
Dan lagi firmanNya Q.S.72:16, bermaksud:
‘ Dan sekiranya mereka tetap berjalan lurus diatas TAREQAH [ JALAN-NYA], nescaya Kami mencurahkan air hikmah melimpah ruah.’
 
11. S: Bagaimanakah jika tiada kita Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu?
   J: Maka adalah jatuh dalam keadaan tiada sempurna ‘iktikadnya; kerana terdapat ragu-ragu, syak dzan dan waham. Bahkan, ‘iktikad yang tidak sempurna juga bermakna Tauhidnya kepada Allah Swt. tidak ikhlas, tidak murni dan tidak sempurna pula, dan pasti membawa kepada Syirik dan kesesatan disepanjang hayat, terlebih-lebih lagi diakhirat kelak!
 
12. S: Manakah dalil menyuruh kita Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu?
  J: Sila lihat Q.S. 112:1, bermaksud: ‘Katakan oleh mu ya Muhammad bahawa Dzat Allah Taala itu Esa.’ Adalah Allah Swt. itu Esa pada Dzat; Esa pada Sifat; Esa pada Asma’ dan juga Esa pada Af’aalNya. Malah, kita diperintahkan mengisbatkan dan menetapkan setetap-tetapnya, seyakin-yakinnya didalam pandangan dan penglihatan mata hati kita. Dalam hubungan ini Allah berfirman Q.S.51:21, bermaksud:
‘ Dan didalam diri mu sendiri apakah kamu tidak memperhatikan?’ Fahamkan benar-benar!
 
13. S: Apakah Rukun Syahadah yang kedua?
   J: Mengisbatkan Sifat Allah Taala.
14. S: Apakah yang dikatakan Sifat itu?
   J: Yang dikatakan sifat itu ialah suatu rupa, warna atau keadaan yang menggambar dan menentukan sesuatu perkara atau benda. Misalnya, warna putih menunjukkan kepada zat kapur. Demikianlah juga dengan Sifat Allah Taala: umpamanya, Sifat Qudrat, yaitu suatu Sifat yang menunjukkan bahawa Dzat Allah Taala itu Kuasa dan lagi Maha Berkuasa.
 
15. S: Manakah yang dinamakan sebagai Sifat-Sifat Allah Swt. itu, silalah senaraikan?
   J: Yang dinamakan Sifat-Sifat Allah Taala itu dan yang wajib diketahui berjumlah 20 Sifat, seperti berikut: Wujud, Qidam, Baqa, Mukhalafatuhu Taala lil hawadis, Qiyamuhu Taala binafsih, Wahdaniyah, Qudrat, Iradat, Ilmu, Hayyat, Sama’, Basar, Kalam, Qadiran, Muridan, ‘Aliman, Hayyan, Sami’an, Basiran dan Mutakalliman. Untuk perhatian, Sifat-Sifat Allah yang Mustahil [20 Sifat] dan yang Harus [1 Sifat], tidaklah dibincang disini.
 
16.  S: Bolehkah dikenali Dzat tanpa mengisbatkan Sifat?
     J: Tidak boleh, kerana Sifat itu menunjukkan diri Mausuf [Dzat Allah Taala].
 
17.  S: Bagaimanakah kaedah mengisbatkan Sifat Allah Taala itu?
    J: Bermula kaedah mengisbatkan Sifat Allah Taala itu ialah ibarat salah satu daripada segala Sifat-Sifat yang ada didalam alam ini. Umpama, tiada ada yang Kuasa hanya Allah; tiada yang Berkehendak; tiada yang Tahu; tiada yang Hidup; tiada yang Mendengar; tiada yang Melihat dan tiada yang Berkata-kata pada hakikatnya hanya Allah; dan sifat-sifat yang ada pada kita hanya menzahirkan Sifat-Sifat Allah Taala jua adanya.
 
18. S: Bolehkah Mengisbatkan Dzat Allah Taala dengan tiada Mengisbatkan SifatNya?
   J: Tidak boleh, kerana dapat Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu hanya dengan perantaraan dapat Mengisbatkan SifatNya’ terkecuali atas jalan Majzub dan Wujdan. Orang seperti ini adalah ia mengenal Dzat Allah Taala terlebih dahulu; kemudian Sifat, Asma’dan Af’aal; bersalahan Salik dari Af’aal, kemudian Asma’, Sifat dan Dzat.
 
19. S: Manakah dalil kita diperintah/disuruh Mengisbatkan Sifat Allah Taala?
   J: Dalilnya, seperti firman Allah Taala didalam Hadits Qudsy, bermaksud:
‘ Tidak menghampirkan diri kepada Aku akan hamba-hambaKu jika mengerjakan yang Fardhu sahaja, terkecuali, mengerjakan mereka itu akan yang Sunnat sehingga kasih Aku kepada mereka; jika Aku kasih Akulah Pendengarannya yang mendengar; Akulah Penglihatannya yang melihat; dan Akulah Lidahnya yang berkata-kata; hingga akhirnya.
 
20. S: Apakah Rukun Syahadah yang ketiga?
   J: Bermula Rukun Syahadah yang ketiga ialah Mengisbatkan Af’aal Allah Taala.
 
21. S: Apakah erti Af’aal?
   J: Ada pun pengertian Af’aal itu ibarat segala perbuatan/perlakuan yang berlaku didalam ‘Alam ini, samaada terbitnya daripada diri kita atau lain dari diri kita, didunia maupun diakhirat.
 
22. S. Bagaimanakah mengisbatkan Af’aal Allah Taala itu?
   J. Bermula setiap perbuatan dan perlakuan, gerak dan diam didalam alam ini, pada hakikatnya adalah dari Allah, seperti wujud alam ini diwujudkan Allah; bergerak alam ini adalah digerakkan Allah; diam alam ini adalah didiamkan Allah, dan seterusnya.
 
23. S. Sila berikan dalilnya hakikat ini?
   J. Sila lihat Q.S.39:62, bermaksud:
‘ Allah-lah pencipta segala sesuatu dan Dialah Memelihara segala sesuatu.’
Dan lagi firmannya, bermaksud:
‘ Allah Taala menjadikan kamu dan segala perbuatan kamu.’
Rasulullah bersabda, maksudnya: ‘ Tidak bergerak suatu zarrah [atom] melainkan dengan izinNya.’
Adalah wajib kita ber’iktikad, bahawa harus bagi Allah Jalla waAzza, menjadikan sekelian alam, menjadikan kebaikan dan menjadikan kejahatan. Persoalannya, bila dilihat pada satu sisi, tidakkah wajib bagi Allah memasukkan orang-orang beriman yang taat, kedalam Surga Allah dan memasukkan pula orang-orang Kafir kedalam NerakaNya?
Jawabnya, tidak wajib bagi Allah Taala memasukkan orang-orang beriman yang taat, kedalam Syurga; hanya harus yaitu, semata-mata kurniaanNya sahaja; dan tidak pula wajib Allah Taala memasukkan orang-orang Kafir kedalam Neraka; hanya harus, yaitu semata-mata Keadilannya sahaja! Fahamkan benar-benar!
 
24. S. Apakah Rukun Syahadah yang keempat [terakhir] itu?
   J. Mengisbatkan atau membenarkan dengan sesungguhnya kebenaran Rasulullah.
 
25. S. Bagaimanakah kaedahnya?
   J. Dengan mengetahui, memahami dan membenarkan keempat-empat sifat Rasul tersebut, seperti, Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatonah.
 
26. S. Sila huraikan satu persatu.
   J. Sifat pertama yang wajib bagi Rasul ialah Siddiq. Siddiq bererti benar, yakni, benar segala Rasul yang pernah diutus Allah Swt. kedunia ini. Andai Rasul tidak bersifat benar,maka mereka pasti bersifat dusta, dan jika mereka dusta, dusta pulalah Allah kerana Allah membenarkan Rasul-RasulNya dengan menzahirkan mukjizat keatas segala Rasul-RsulNya; yaitu, suatu perbuatan yang menyalahi kebiasaan, dianugerahkan kepada Rasul-Rasul sebagai hujah dan kebenaran ketika mereka didustakan sekelian manusia. Umpama, turun bulan terbelah dua dihadapan Nabi Muhammad saw.kemudian naik bertaut semula kelangit; dan terbit air dari jejari Rasulullah ketika ketiadaan air bagi Sahabat-Sahabat berwudhuk.
Sifat kedua yang wajib bagi Rasul ialah Amanah, yakni, kepercayaan bagi sekelian Rasul itu suci dari melakukan yang mungkar, haram dan makruh, zahir dan batin. Andai Rasul bersifat khianat dengan melakukan yang mungkar, haram dan makruh, boleh pula kita melakukan yang serupa, kerana kita diperintah Allah mencontohi sekelian RasulNya.
Sifat ketiga yang wajib bagi Rasul ialah Tabligh yakni, menyampaikan segala Rasul akan perkara-perkara yang diperintah Allah menyampaikan kepada segenap makhluk didunia ini. Andai boleh bagi Rasul menyembunyikan akan apa yang disuruh Allah menyampaikannya, tentu boleh pula kita menyembunyikan apa-apa yang disuruh kita menyampaikan kepada segenap manusia, kerana kita disuruh Allah mengikuti RasulNya. Walhal, kita tidak boleh menyembunyikan, apa lagi, Rasul tidak pula boleh berbuat demikian.
Sifat keempat dan terakhir yang wajib bagi Rasul ialah Fatonah, yakni cerdik, pintar dan bijaksana Rasul menetapkan setiap yang hak, dan menolak setiap yang batil. Disamping itu Rasul amat bijaksana mengemukakan hujjah, jawapan dan penyelesaian apabila berdepan dengan serangan, tentangan, bantahan dan sanggahan dari kaum Kuffar dan Munafiq.
 
Demikianlah penggarapan tuntutan Rukun Syahadah yang wajib diketahui dengan mantap oleh mukmin

subhanallah

3 comments:

  1. Syarat mengesahkannya

    syarat mengucapkan syahadah adalah seperti berikut:-
    1)Orang yang mengucapkan syahadah.Disyaratkan pada orang yang mengucapkan itu
    i)Berakal
    ii)Memahami kandungan syahadah sekurang – kurangnya makna yang hakiki iaitu tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu adalah utusan Allah.
    iii)Dengan rela hati tanpa dipaksa.
    iv)Yakin dengan percaya dengan syahadah yang diucapkan
    2)Lafaz.Disyaratkan pada lafaz itu
    i)Mengandungi kedua – dua syahadah iaitu pengakuan bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan pengakuan bahawa nabi Muhammad itu utusan Allah.
    ii)Berturut – turut antara dua kalimah syahadah dengan tidak diselangi oleh diam yang panjang atau diselangi oleh perkataan yang lain yang tidak ada kena mengena dengan ucapan syahadah.
    iii)Dengan lafaz “asyhadu” yang bererti “aku naik saksi” dan tidak memadai dengan lafaz yang lain daripada itu seperti a’lamu (aku mengetahui) atau uqirru (aku berikrar) atau sebagainya.
    iv)Menyebut nama Allah tertentu dengan lafaz Allah sahaja dan tidak memadai dengan nama Allah yang lain seperti dikatanya “Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Arrahman” maka yang demikian tidak memadai.
    v)Dengan lafaz nafi dan isbat iaitu menafikan ketuhanan selain daripada Allah kemudian menetapkan ketuhanan itu bagi Allah.Tidak memadai dengan lafaz isbat semata – mata seperti dikatanya aku naik saksi bahawa Allah itu Tuhan.
    3)Ada saksi.Ini bagi orang kafir yang memeluk Islam atau bagi orang yang murtad yang ingin kembali kepada Islam.

    ReplyDelete
  2. Di dalam Tafsir Al-Darrul Mantsur, diriwayatkan sebagai berikut, “Berbahagialah orang yang beriman kepadaku, padahal tidak pernah berjumpa denganku.” Rasul menyebutnya sampai tiga kali. Rasul juga sayang bukan hanya kepada orang Islam saja, tetapi juga kepada orang yang bukan islam.

    Diriwayatkan bahwa ketika Rasul berdakwah di Thaif, Rasul dilempari batu sehingga tubuhnya berdarah. Kemudian Rasul berlindung di kebun Uthbah bin Rabi’ah. Rasul berdoa dengan doa yang sangat mengharukan. Rasul memanggil Allah dengan ucapan, “Wahai yang melindungi orang-orang yang tertindas, kepada siapa Engkau akan serahkan aku, kepada saudara jauh yang mengusir aku?” Kemudian datang malaikat Jibrail dan berkata: “Ya Muhammad, ini Tuhanmu menyampaikan salam kepadamu. Dan ini malaikat yang mengurus gunung-gunung, diperintah Allah untuk mematuhi seluruh perintahmu. Dan dia tidak akan melakukan apapun kecuali atas perintahmu.” Lalu malaikat dan gunung berkata kepada Nabi, “Allah memerintahkan aku untuk berkhidmat kepadamu. Jika engkau mau, biarlah aku jatuhkan gunung itu kepada mereka.” Namun Nabi berucap, “Hai malaikat dan gunung, aku datang kepada mereka karena aku berharap mudah-mudahan akan keluar dari keturunan mereka orang-orang yang mengucapkan kalimat laila haillallah.” Nabi tidak mau meminta azab kepada mereka bahkan berharap kalau pun mereka tidak beriman, keturunan mereka nanti akan beriman. Kemudian berkata para malaikat dan gunung, “Engkau seperti disebut oleh Tuhanmu, sangat penyantun dan penyayang.”

    Kasih sayangnya tidak terbatas kepada umatnya. Perasaan cinta kita kepada Nabi tidak sebanding dengan besarnya kecintaan Nabi kepada kita semua.

    Kecintaan Nabi terhadap orang-orang yang menderita begitu besar. Menurut Siti Aisyah, Nabi tidak makan selama tiga hari berturut-turut dalam keadaan kenyang. Ketika Aisyah bertanya apa sebabnya, Nabi menjawab, “Selama masih ada ahli shufah —orang-orang miskin yang kelaparan di sekitar masjid— saya tidak akan makan kenyang.” Dan itu tidak cukup hanya pada saat itu, Nabi juga memikirkan umatnya di kemudian hari. Beliau khawatir ada umatnya yang makan kenyang sementara tetangga di sekitarnya kelaparan.

    Karena itu, Nabi berpesan, “Tidak beriman kamu, jika kamu tidur dalam keadaan kenyang sementara tetanggamu kelaparan.” Nabi pun mengatakan, “Orang yang senang membantu melepaskan penderitaan orang lain, akan senantiasa mendapat bantuan Allah swt.” Itulah empat sifat Rasulullah kepada umatnya, yang sangat luar biasa.

    Marilah kita kenang kecintaan Rasulullah yang agung kepada kita dan bandingkanlah apa yang membuktikan kecintaan kita kepadanya. Sekarang kita bertanya, sudah sejauh mana kita mengikuti sunnah Rasulullah saw seperti yang dirukunkan didalam dua kalimah syahadah. Dapatkah akhlak kita seperti akhlak Nabi sebagaimana yang disebut dalam surat Al-Taubah 128? Bagaimana kita dapat ikut merasakan penderitaan orang-orang di sekitar kita? Bagaimana kita menjadi orang yang berusaha agar orang- orang lain itu hidup bahagia dan memperoleh petunjuk Allah? Bagaimana kita menumbuhkan sikap Raufur Rahim di dalam diri kita seperti Rasulullah saw contohkan kepada kita?

    Marilah kita sebarkan kecintaan kepada Rasulullah saw di dalam diri kita, keluarga kita, dan pada masyarakat di sekitar kita. Yang harus selalu kita ingatkan pada diri kita adalah misi mencintai Rasulullah yang paling utama, yaitu misi akhlak yang mulia. Tidak ada artinya menisbahkan diri kita kepada Rasulullah saw tanpa memelihara akhlak yang mulia. Hendaknya kita selalu malu untuk mengucapkan selawat kepada junjungan kita, sementara didada kita penuh dengan dosa dan maksiat. Kita telah mengotori ajaran Rasulullah saw dengan akhlak buruk kita.

    ReplyDelete
  3. Diriwayatkan daripada Saidina Hasan bin Ali r.a, saya bertanya bapa saudara saya, Hindun b. Abi Halah, beliau adalah seorang yang pandai menyifatkan tentang diri Rasulullah, aku berkata: beritahu aku tentang sifat-sifat percakapan Rasulullah. Maka beliau berkata: Adalah Rasulullah…

    1. Hatinya sentiasa berdukacita dan sedih sambil mukanya sering menzahirkan kegembiraan. (Hanya orang yang berdekatan dengannya akan merasai kesedihannya)

    2. Beliau adalah orang yang sentiasa berfikir. (Tentang ummatnya)

    3. Beliau ialah orang yang tidak pernah berehat melainkan sentiasa bekerja kepada Ummat. (Pernah suatu ketika Saidatina Aisyah r.a menyuruh baginda tidur lalu baginda berkata bagaimana aku hendak lelapkan mata jika hati ini sentiasa jaga?)

    4. Beliau banyak mendiamkan diri darpada berkata-kata. (Beliau pernah berkata: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka katakanlah kalam-kalam yang baik atau diam)

    5. Beliau tidak bercakap pada perkara yang tidak berhajat kepadanya. (Perkatannya adalah tidak bercampur perkara-perkara yang lagha dan tidak penting seperti firman Allah : “Dia tidak bercakap mengikut nafsu, ianya tidak lain melainkan wahyu yang diturunkan”)

    6. Dia memulakan dan mengakhiri kalamnya dengan nama Allah. (Seperti sabdanya: setiap perkara yang baik jika tidak dimulakan dengan basmalah maka perkara itu terpotong – kurang keberkatan)

    7. Dia berkata dengan perkataan yang sedikit tetapi mempunyai banyak makna.

    8. Percakapannya terputus-putus atau satu, satu. Tiada lebih dan tiada kurang padanya.

    9. Tidak ada pada kata-katanya perkataan yang kasar malah menghina orang lain.

    10. Beliau sentiasa membesarkan nikmat Allah walaupun kecil dan halus.

    11. Beliau tidak pernah mencela, walaupun benda itu dirasainya dan tidak juga selalu memuji.

    12. Dunia tidak pernah membuatkan dia marah, malah tiada tempat bagi dunia di sisinya.

    13. Apabila kebenaran dinodai maka tiada seorang pun yang boleh menyekat kemarahannya sehingga dia memenangkan kebenaran tersebut.

    14. Dia tidak pernah marah untuk hajat dirinya dan tidak pernah memenangkan sesuatu untuk dirinya.

    15. Jika dia menunjukkan sesuatu dia menggunakan keseluruhan jarinya.

    16. Apabila dia marah, Dia akan berpaling tubuhnya daripada perkara yang membuatkan dia marah.

    17. Apabila dia gembira dia menundukkan kepalanya.

    18. Ketawanya yang paling besar (kuat) adalah dengan tersenyum. (Diriwayatkan pernah baginda tersenyum hingga menampakkan giginya, lalu terpancarlah cahaya ke dinding-dinding tempat tersebut)

    ReplyDelete