image

image

Tuesday, July 28, 2015

Hakikat Ukhwah Fillah

Abdullah bin Mas'ud berkata: Di antara orang-orang yang termasuk dalam barisan Perang Yarmuk adalah Haris bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amar. Di saat-saat kematian mereka, ada seorang sahabat yang memberinya air minum, akan tetapi mereka menolaknya. Setiap kali air itu akan diberikan kepada salah seorang dari mereka yang bertiga orang itu, maka masing-masing mereka berkata: "Berikan saja air itu kepada sahabat di sebelahku."  Demikianlah keadaan mereka seterusnya, sehingga akhirnya mereka bertiga menghembuskan nafas yang terakhir dalam keadaan belum sempat meminum air itu.

Dalam riwayat yang lain pula ditambahkan: "Sebenarnya Ikrimah bermaksud untuk meminum air tersebut, akan tetapi pada waktu ia akan meminumnya, ia melihat ke arah Suhail dan Suhail pun melihat ke arahnya pula, maka Ikrimah berkata: "Berikanlah saja air minum ini kepadanya, barangkali ia lebih memerlukannya daripadaku." Suhail pula melihat kepada Haris, begitu juga Haris melihat kepadanya. Akhirnya Suhail berkata: "Berikanlah air minum ini kepada siapa saja, barangkali sahabat-sahabatku itu lebih memerlukannya daripadaku." Begitulah keadaan mereka, sehingga air tersebut tidak seorangpun di antara mereka yang dapat meminumnya, sehingga mati syahid semuanya. Semoga Allah melimpahkan kurnia dan rahmat-Nya kepada mereka bertiga. Amin."

Inilah sifat persaudaraan dalam Islam yang ditunjukan oleh para sahabat Rasulullah SAW. Betapa terserlah kejayaan pendidikan Rasulullah SAW. Didikan yang bertunjangkan iman. Terzahir dalam amal perbuatan. Ikatan persaudaraan yang bermatlamatkan keredhaan Allah, dan merupakan anugerah Allah kepada hati-hati yang ikhlas ingin menuruti titah perintah Allah :

"Dan Dialah yang menyatukan di antara hati mereka (yang beriman). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Seungguhnya Ia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana" (Al Anfaal ayat 63)

DEFINISI UKHWAH

Ukhwah Islamiah adalah rantaian yang menghubungkan antara satu hati dengan satu hati yang lain atas dasar ketaatan kepada Allah. Rantaian ukhwah inilah yang akan mendekatkan mereka kepada Allah. Hubungan hati sesama muslim adalah titik permulaan dalam berjemaah dan bermasyarakat. Kerana berjemaah atau bermasyarakat adalah satu tuntutan agama dan wajib dilaksanakan :

 "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar, mereka itulah orang-orang yang beruntung. "(Ali Imran : 103-104)

"Wajib atas kamu bersama jemaah. Sesungguhnya jemaah (bersatu dan berpadu) itu adalah rahmat dan berpecah belah itu adalah azab. " (Riwayat Muslim).

"Barang siapa yang mati dalam keadaan memisahkan diri dari Jemaah Kaum Muslimin, maka sesungguhnya ia mati sebagai mati jahiliah. " (Riwayat Imam Muslim)


, dan tiada yang lebih diingini apabila berjemaah/bermasyarakat melainkan untuk :

a.    Menghubungkan diri dengan Allah
b.    Menghubungkan diri sesama manusia

Bersesuaian firman Allah :

"Akan ditimpa kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali mereka yang mengadakan hubungan dengan ALLAH dan hubungan dengan sesama manusia." (Ali Imran : 112)

Malah dalam melaksanakan perjuangan, kesatuan hati sesama muslim adalah dituntut agar setiap yang dilakukan selaras dengan syariat Islam. Kesatuan hati ini hanya akan terbina dengan kekuatan iman dalam diri. Ukhwah yang terbina dari kekuatan iman menghasilkan manusia yang bercinta dan marah kerana Allah, bukan kerana emosi atau perasaan.

"Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah". (Hadis riwayat Imam Ahmad).

KESAN YANG LAHIR DARI UKHWAH

Ikatan ukhwah ini bukanlah modal yang digunakn dalam bual bicara, sebaliknya kesannya wajib bersesuaian dan selaras dengan syariat dan akhlak Islam. Antara kesan yang wajib terhasil :

1. Ukhwah yang lahir mendorong ke arah ketaatan kepada Allah. Segala perintah Allah dilaksanakan, baik yang wajib mahu pun sunat. Segala larangan Allah ditinggalkan baik yang haram mahu pun makruh. Sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan:

"Sesiapa yang Allah ingin kurniakan kebaikan kepadanya nescaya Allah mengurniakan kepadanya seorang sahabat setia yang soleh, jika sekiranya dia terlupa (lalai) dia menolong memberi peringatan dan apabila (sahabatnya itu) memperingatkannya ia akan menolongnya".

2. Ukhwah yang lahir akan menyuburkan rasa empathy, iaitu merasai keperluan saudara seaqidah dengannya sambil berusaha memenuhi keperluan saudaranya. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Jika sekiranya seorang dari kamu berjalan bersama saudaranya dengan tujuan memenuhi keperluannya (dan baginda menunjukkan isyarat dengan jari-jari baginda) amalan itu lebih utama dari dia beriktikaf selama dua bulan di dalam masjidku ini". (Hadis riwayat Al-Hakim dan dia mengatakan bahawa sanad-sanadnya sahih).

3. Ukhwah yang lahir menyuburkan sifat tolong menolong, bantu membantu sesama muslim. Sabda Rasulullah s.a.w:

"Sesiapa yang melapangkan seorang muslim dari satu kesusahan dunia nescaya Allah melapangkan untuknya satu dari kesusahan di akhirat. Sesiapa yang memudahkan seseorang yang berada di dalam kesusahan nescaya Allah akan memudahkan (urusannya) di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menyembunyikan rahsia seorang muslim nescaya Allah akan memelihara rahsianya di dunia dan di akhirat. Dan Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama ia menolong saudaranya".

4. Ukhwah menuntut perlaksanaan tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi kewajipan-kewajipan yang ringkas. Sehubungan dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

"Hak seseorang Muslim ke atas seorang muslim yang lain ada enam perkara: (1) Apabila engkau bertemu dengannya hendaklah engkau memberi salam, (2) Apabila dia menjemputmu maka penuhilah jemputannya itu, (3) Apabila dia meminta nasihat hendaklah engkau memberi nasihat kepadanya, (4) Apabila dia bersin dan bertahmid maka hendaklah engkau lengkapkan dengan bertasymit, (5) Apabila dia sakit hendaklah engkau menziarahinya dan (6) Apabila dia meninggal dunia hendaklah engkau mengiringi jenazahnya". (Hadis riwayat Muslim).

Selain itu Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya' ulum Al-Din telah menggariskan 8 perkara yang perlu ditunaikan dalam persaudaraan Islam:
i.            Saling tolong menolong samada dalam keadaan senang ataupun susah. Sebagaimana Hadis Nabi saw yang bermaksud: "Perumpamaan dua orang yang bersaudara itu adalah umpama kedua-dua tangan yang mana salah satunya membasuh tangan yang lain"
ii.            Menolong saudara kita untuk menyelesaikan hajatnya sebelum diminta.
iii.            Diam atau tidak memperkata atau menyebarkan keaibannya samada semasa dia ada atau tidak dan tidak mencari-cari kesalahannya.
iv.            Menebarkan kebaikannya dan memanggilnya dengan nama yang baik. Saidina Umar pernah berkata: "tiga perkara, apabila kamu lakukan, maka akan terjalinlah kasih sayang; iaitu yang pertama, apabila bertemu mulakan salam, yang kedua; lapangkan tempat duduknya di dalam majlis dan yang ketiga panggillah dengan panggilan yang baik.
v.            Nasihatilah dia dengan cara yang lembut sekiranya dia terlalai atau melakukan dosa.
vi.            Mendoakannya semasa hidup atau selepas kematiannya.
vii.            Menghormati semua rakan-rakan dan kaum kerabatnya.
viii.            Tidak memberati sahabat kita dengan apa-apa yang boleh menyusahkannya

5. Ukhwah wajib melahirkan kemesraan, kasih-sayang dan saling bantu-membantu. Berhubung dengan perkara ini Rasulullah s.a.w bersabda:

"Janganlah kamu saling memutuskan hubungan silaturahim, janganlah kamu saling belakang-membelakangi, janganlah kamu saling benci-membenci dan janganlah kamu saling hasad dengki. (Sebaliknya) jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim itu memulaukan saudaranya (yang mukmin) melebihi tiga hari". (Hadis riwayat Imam Malik, Bukhari, Abu Daud, Tirmizi dan Nasaie).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:
"Janganlah kamu memandang rendah terhadap sesuatu kebaikan, walaupun dengan cara bermanis muka ketika bertemu saudaramu (kerana itu juga satu kebaikan)". (Hadis riwayat Muslim).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:"Setiap perkara kebaikan adalah sedekah. Sesungguhnya di antara perkara mitu ialah bermanis muka ketika bertemu saudaramu dan menolong memenuhi bejana saudaramu dengair". (Hadis riwayat ).

Rasulullah s.a.w juga bersabda:"Hendaklah kamu saling memberi hadiah kerananya kamu saling berkasih-sayang dan akan jauhlah permusuhan". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Ukhwah menuntut lahirnya rasa cinta, kesetiaan dan bersedia berkorban demi Rasulullah s.a.w :

"Sesiapa yang mempertahankan maruah kehormatan saudaranya nescaya Allah akan menjaga wajahnya dari seksaan api neraka di hari kiamat". (Hadis riwayat Tirmizi).

Baginda juga bersabda:
"Doa seorang saudara kepada saudaranya yang lain (sedangkan saudaranya itu tidak mengetahui doa tersebut) adalah doa yang pasti diperkenankan, di sisinya terdapat malaikat yang ditugaskan di mana setiap kali ia mendoakan kebaikan atau keselamatan untuk saudaranya, malaikat yang ditugaskan itu berkata: Amin dan bagimu seperti itu juga". (Hadis riwayat Muslim).

1 comment:

  1. Untuk Memahami Hakikat sesuatu itu adalah keupayaan Bathin Manusia
    Yang mahu berzikir, mahu Berfikir, mahu berikhtiar memperbaiki diri masing masing

    InsyaAllah ya

    ReplyDelete