image

image

Thursday, February 26, 2015

Ketentuan Allah atau kebodohan diri

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala  bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami)  sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya  yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
(Ayat 22 : Surah al-Hadiid)

Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; - ( Ayat 1 : Surah al-Mulk )

 Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah  petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); ( Ayat 3 : Surah al-A’laa)

Dan Kami jadikan bumi memancarkan mataair-mataair (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara  yang telah ditetapkan. ( Ayat 12 : Surah al-Qamar )

Segala perkara, tidak kira apa istilah  yang digunakan, adalah termasuk dalam ketentuan Allah s.w.t. Apa yang kita istilahkan sebagai perjuangan, ikhtiar, doa, kekeramatan, mukjizat dan lain-lain semuanya adalah ketentuan Allah s.w.t.
Pagar takdir mengelilingi segala-galanya dan tidak ada sebesar zarah pun yang mampu menembusi benteng takdir yang maha teguh. Tidak terjadi perjuangan dan ikhtiar melainkan perjuangan dan ikhtiar tersebut telah ada dalam pagar takdir. Tidak berdoa orang yang berdoa melainkan halnya berdoa itu adalah takdir untuknya yang sesuai dengan ketentuan Allah s.w.t untuknya. Perkara yang didoakan juga tidak lari daripada sempadan ketentuan Allah s.w.t. Tidak berlaku kekeramatan dan mukjizat melainkan kekeramatan dan mukjizat itu adalah takdir yang tidak menyimpang daripada pentadbiran Allah s.w.t. Tidak menghirup satu nafas atau berdenyut satu nadi melainkan ianya adalah takdir yang menzahirkan urusan Allah s.w.t pada azali.

Kami datang dari Allah dan kepada Allah kami kembali.

Segala perkara datangnya dari Allah s.w.t atau Dia yang mengadakan ketentuan tanpa campurtangan sesiapa pun. Segala perkara kembali kepada-Nya kerana Dialah yang mempastikan hukum ketentuan-Nya terlaksana tanpa sesiapa pun mampu menyekat urusan-Nya.

 Apabila sudah difahami bahawa usaha, ikhtiar, menyerah diri dan segala-galanya adalah takdir yang menurut ketentuan Allah s.w.t, maka seseorang itu tidak lagi berasa bingung sama ada mahu berikhtiar atau menyerah diri.

Ikhtiar dan berserah diri sama-sama berada di dalam pagar takdir. Jika seseorang menyedari makamnya sama ada asbab atau tajrid maka dia hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya. Ahli asbab perlu berusaha dengan gigih menurut keadaan hukum sebab-akibat. Apa juga hasil yang muncul dari usahanya diterimanya dengan senang hati kerana dia tahu hasil itu juga adalah takdir yang ditadbir oleh Allah s.w.t. Jika hasilnya baik dia akan bersyukur kerana dia tahu bahawa kebaikan itu datangnya dari Allah s.w.t. Jika tidak ada ketentuan baik untuknya nescaya tidak mungkin dia mendapat kebaikan. Jika hasil yang buruk pula sampai kepadanya dia akan bersabar kerana dia tahu apa yang datang kepadanya itu adalah menurut ketentuan Allah bukan tunduk kepada usaha dan ikhtiarnya.

Walaupun hasil yang tidak sesuai dengan seleranya  datang kepadanya tetapi usaha baik yang dilakukannya tetap diberi pahala dan keberkatan oleh Allah s.w.t sekiranya dia bersabar dan rela dengan apa juga takdir yang sampai kepadanya itu.

 Ahli tajrid pula hendaklah reda dengan suasana kehidupannya dan tetap yakin dengan jaminan Allah s.w.t. Dia tidak harus merungut jika terjadi kekurangan pada rezekinya atau kesusahan menimpanya. Suasana kehidupannya adalah takdir yang sesuai dengan apa yang Allah s.w.t tentukan. Rezeki yang sampai kepadanya adalah juga ketentuan Allah s.w.t. Jika terjadi kekurangan atau kesusahan maka ia juga masih lagi di dalam pagar takdir yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Begitu juga jika terjadi keberkatan dan kekeramatan pada dirinya dia harus melihat itu sebagai takdir yang menjadi bahagiannya.

 Persoalan takdir berkait rapat dengan persoalan hakikat. Hakikat membawa pandangan daripada yang banyak kepada yang satu. Perhatikan kepada sebiji benih kacang. Setelah ditanam benih yang kecil itu akan tumbuh dengan sempurna, mengeluarkan beberapa banyak buah kacang. Buah kacang tersebut dijadikan pula benih untuk menumbuhkan pokok-pokok kacang yang lain. Begitulah seterusnya sehingga kacang yang bermula dari satu biji benih menjadi jutaan juta kacang. Kacang yang sejuta tidak ada bezanya dengan kacang yang pertama. Benih kacang yang pertama itu bukan sahaja berkemampuan untuk menjadi sebatang pokok kacang, malah ia mampu mengeluarkan semua generasi kacang sehingga hari kiamat. Ia hanya boleh mengeluarkan kacang, tidak benda lain.

 Kajian akal boleh memperakui bahawa semua kacang mempunyai zat yang sama, iaitu zat kacang. Zat kacang pada benih pertama serupa dengan zat kacang pada yang ke satu juta malah ia adalah zat yang sama atau yang satu. Zat kacang yang satu itulah ‘bergerak’ pada semua kacang, mempastikan yang kacang akan menjadi kacang, tidak menjadi benda lain. Walaupun diperakui kewujudan zat kacang yang mengawal pertumbuhan kacang namun, zat kacang itu tidak mungkin ditemui pada mana-mana kacang. Ia tidak berupa dan tidak mendiami mana-mana kacang, tetapi ia tidak berpisah dengan mana-mana kacang. Tanpanya tidak mungkin ada kewujudan kacang. Zat kacang ini dinamakan “Hakikat Kacang”. Ia adalah suasana ketuhanan yang mentadbir dan mengawal seluruh pertumbuhan kacang dari permulaan hingga kesudahan, sampai ke hari kiamat. Hakikat Kacang inilah suasana pentadbiran Allah s.w.t yang Dia telah tentukan untuk semua kejadian kacang. Apa sahaja yang dikuasai oleh Hakikat Kacang tidak ada pilihan kecuali menjadi kacang.

 Suasana pentadbiran Allah s.w.t yang mentadbir dan mengawal kewujudan keturunan manusia pula dinamakan “Hakikat Manusia” atau “Hakikat Insan”. Allah s.w.t telah menciptakan manusia yang pertama, iaitu Adam a.s menurut Hakikat Insan yang ada pada sisi-Nya. Pada kejadian Adam a.s itu telah disimpankan bakat dan keupayaan untuk melahirkan semua keturunan manusia sehingga hari kiamat. Manusia akan tetap melahirkan manusia kerana hakikat yang menguasainya adalah Hakikat Manusia.

 Pada Hakikat Manusia itu ada hakikat yang menguasai satu individu manusia dan hubungkaitnya dengan segala kejadian alam yang lain. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat Nabi” pasti menjadi nabi. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat Wali” pasti akan menjadi wali. Suasana pentadbiran Allah s.w.t atau hakikat itu menguasai roh yang berkaitan dengannya. Roh bekerja mempamerkan segala maklumat yang ada dengan hakikat yang menguasainya. Kerja roh adalah menjalankan urusan Allah s.w.t iaitu menyatakan hakikat yang ada pada sisi Allah s.w.t.

Dan katakan: “ Roh itu dari perkara urusan Tuhanku”. ( Ayat 85 : Surah Al-Israa’ )

Pentadbiran Allah s.w.t menguasai roh dan mengheret roh kepada mempamerkan ketentuan-Nya yang berada pada azali. Allah s.w.t telah menentukan hakikat sesuatu sejak azali lagi. Tidak ada perubahan pada ketentuan Allah s.w.t. Segala sesuatu dikawal oleh hakikat yang pada sisi Allah s.w.t. Unta tidak boleh meminta menjadi kambing. Beruk tidak boleh meminta menjadi manusia. Manusia tidak boleh meminta menjadi malaikat. Segala ketentuan telah diputuskan oleh Allah s.w.t.


2 comments:

  1. Tidak patut bagi diri umat islam untuk berada di dalam kejahilan dan kebodohan
    Islam adalah cara hidup bagi orang berakal
    Islam dan kebenarannya hanya dapat di capai olleh golongan yang mahu berfikir

    Wajib atas setiap muslim menuntut ilmu, tidak mengira batas jantina, silakanlah ya

    Janganlah kamu campakkan dirimu ke dalam yang membinasakan

    keluarlah daripada situasi yang kurang kepada situasi yang lebih baik

    semuga dapat tunduk patuh kepada Allah, bersyukur dan bersabar sebagai mukmin, inshaAllah

    Segala ujian dalam kehidupan ini hanyalah Ujian Allah, mahu melihat, siapakah yang lebih baik amalannya

    subhanallah

    ReplyDelete
  2. Sebagai Ahli Sunnah dan Berjamaah - Yang baik itu daripada Allah kata penceramah lah, dan yang buruk dan lemah itu daripada kesilapan saya, kita sudahi dengan Tasbih Kafarah

    Bagi yang mengerti lah akan perkataan ini, ini mengakui segala Takdir itu ketentuan Allah, namun kehendak dalam dirilah, samada bertuhankan Allah, menauhidkan Allah, ataukah bernafsu, dan suka kepada bisikan syaitan

    Selalunyalah, yang faham Hakikat akan sedar akannnya
    Ajaran dan didikan hal Ilmu ini banyak terbit dari Kitab Hikam

    Silakan ya, semuga dapat melihat, dan memperbaiki diri kita masing masing
    InsyaAllah

    ReplyDelete