image

image

Thursday, October 16, 2014

JAHILiah - menentang Muhammad SAW

MUHAMMAD RASULULLAH

Bahawa Muhammad itu seorang Rasul dapat dibuktikan melalui beberapa cara. 
Pertama berdasarkan berita-berita tentang kedatangan Muhammad seperti yang tersebut dalam kitab Taurat dan Injil (Old & New Testament juga dalam Veda hindu ). 
Kedua, berdasarkan kedudukannya sebagai ‘AI-Sadiq AI-Amin’, yakni seorang yang benar lagi dipercayai kejujurannya. 
Dan ketiganya dari ‘Nubuwwah’ Muhammad sendiri, seperti berita-berita ghaib yang telah disebutkan lebih dulu oleh Baginda tentang bakal terjadinya, dan kemudiannya benar-benar telah menjadi kenyataan!

Akhlak yang Mulia  yang sedemikian rupa, tidak hairanlah jikalau ianya dengan cepat menarik perhatian golongan bawahan, khasnya dari kalangan hamba abdi. Namun tidak sedikit pula golongan atasan yang menyambut baik, seperti Abu Bakar Al-Siddiq, Usman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf. 

JahilIAH
Bagaimanapun kebanyakan kaum bangsawan menolaknya. Bagi mereka, agama paganisme itulah Sunnah, sedangkan ajaran Islam itu merupakan Bid’ah belaka! Kerana ianya Bid’ah (ciptaan baru), perlulah ia ditentang agar tidak cepat merebak dan menggugat Sunnah (tradisi nenek-moyang) mereka.

Langkah pertama yang mereka lakukan ialah memujuk penyair-penyair mereka, seperti Abu Sufyan bin Al-Harith, Amru ibnul-Ass dan Abdullah ibnuz-Ziba’ra supaya mengejek dan menyerang ajaran-ajaran Islam. Tetapi serangan-serangan mereka tidak sampai ke mana disebabkan penyair-penyair Muslimin sendiri tampil membalas serangan mereka. Namun mereka terus melancarkan perang saraf, menabur dakyah-dakyah jahat terhadap ajaran Islam serta peribadi Muhammad sendiri. Bagaimanapun pada peringkat ini mereka tidak dapat berbuat apa-apa terhadap batang-tubuh Muhammad, kerana ianya dilindungi oleh bapa saudaranya Abu Talib.

Kerana sukar mengganggu Muhammad, serangan mereka lalu ditujukan kepada pengikut-pengikutnya yang terdiri dari golongan-golongan hamba dan yang lemah sahaja. Bilal bin Rabah misalnya, lantaran keIslamannya lehernya telah dijerut oleh tuannya Umayyah bin Khallaf. Kemudiannya disuruh kanak-kanak menyeretnya ke gurun pasir sewaktu panas terik, lalu dadanya ditindih pula dengan batu besar. Demikian juga keluarga Yassir yang diseksa oleh kaum Quraisy, sehingga Yassir dan isterinya Sumaiyah menemui syahid kerana itu. Termasuk juga Amir bin Fuhairah yang diseksa oleh tuannya hingga menjadi tidak siuman, Zunaizah hamba perempuan yang diseksa oleh tuannya Abu Jahal hingga buta matanya, dan juga Labibah yang diseksa terus menerus oleh tuannya Umar Al-Khattab (sebelum keislamannya). Maka buat mengatasinya ramailah hartawan-hartawan Muslim seumpama Abu Bakar yang bertindak menebus atau memerdekakan mereka.

Tekanan-tekanan tersebut rupanya tidaklah mendatangkan sebarang hasil, sebaliknya penganut-penganut Islam bertambah tebal keimanannya. Sebab itu bentuk penentangan kini bertukar corak; daripada menentang golongan hamba sahaja kepada menentang semua pengikut-pengikut Islam. Dengan demikian ramailah bangsawan-bangsawan yang disegani seperti Abu Bakar Al-Siddiq, Osman bin Affan, Abu Ubaidah Al-Jarrah dan Zubair Al-Awwam tidak luput dari penyeksaan-penyeksaan mereka. Akibat semuanya ini memaksa Nabi memikirkan suatu tempat yang lebih selamat buat mereka, dan negeri itu tidak lain dari Habshah yang mana cukup diketahui oleh baginda tentang kebaikan rajanya, Najasyi. Dengan itu berlakulah Hijrah pertama dalam sejarah Islam di mana seramai 14 orang dan kemudiannya hampir 100 orang telah berangkat ke Habshah. Kerana bimbang tentang kemungkinan tersebar luasnya Islam di sana maka orang-orang Quraisy segera mengutus Amru ibnul-Ass dan Abdullah bin Abi Rabi’a untuk meminta agar Raja Najasyi memulangkan mereka kembali ke Makkah, tetapi gagal setelah Najasyi mendengar hujjah-hujjah Jaafar bin Abu Talib.

Tidak beberapa lama di Habshah, tersebarlah khabar-khabar angin tentang adanya kebebasan beragama di Makkah, juga adanya semacam perdamaian (Al-Gharaniq) dengan kaum musyirikin di sana. Tetapi sebaik sahaja mereka pulang ke Makkah, didapati permusuhan terhadap kaum Muslimin tetap seperti dulu. Dengan itu tiada seorang pun yang dapat memasuki Makkah dengan selamat, kecuali secara bersembunyi-sembunyi atau di bawah perlindungan seseorang penaung tertentu (Qanun Al-Jiwar).

Setelah semua bentuk tekanan itu tidak mampan, akhirnya barulah pemuka-pemuka Quraisy mengalih perhatian kepada Muhammad, penganjur Islam itu sendiri. Dalam mengatur langkahnya, mulanya mereka bertindak secara diplomasi, sama ada dengan memujuk atau mengumpan baginda dengan berbagai bentuk rasuah, baik melalui Abu Talib mahupun terus kepada Muhammad sendiri. Kerana gagal kesemuanya, akhirnya mereka bertindak dengan memboikot seluruh Bani Hashim. Pemboikotan ini memaksa Muhammad menyuruh pengikut-pengikutnya sekali lagi berhijrah ke Habshah.

Bagaimanapun kesan yang paling hebat akibat pemboikotan itu ialah kematian bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Khadijah, dua orang pembantu dan pelindungnya juga. Dengan kematian mereka, maka terbukalah kesempatan bagi orang-orang Quraisy untuk menghapuskan Muhammad. Sedang Muhammad sendiri sudah mulai berdakwah ke luar kota Makkah, seperti di Taif dan kepada jemaah-jemaah Haji. Memandangkan tekanan-tekanan terhadap Nabi dan pengikut-pengikutnya semakin hebat, akhirnya datanglah perintah Allah agar baginda berhijrah ke Madinah.

Sebelum persoalan ini ditamatkan, ada baiknya disebutkan bahawa selama berlangsungnya kegiatan dakwah Islamiah di Makkah, kaum Muslimin ada kalanya mendapati terpaksa berlindung di bawah naungan kaum musyrikin (Qanun Al-Jiwar). Bahkan Rasulullah sendiri sejak mula sehinggalah berlakunya Hijrah adalah dilindungi dan dibantu oleh seorang musyrik, iaitu bapa saudaranya sendiri Abu Talib. Di sini timbullah suatu ketentuan, bahawa dalam berdakwah, kaum Muslimin dibolehkan meminta perlindungan atau bantuan daripada orang-orang bukan Islam demi untuk mengelakkan gangguan atau rintangan terhadap usaha-usahanya. Bagaimanapun dalam meminta bantuan mereka, kata Dr. Abdul Karim Zaidan, hendaknya orang tersebut sudah dikenal kejujurannya dan tidaklah mungkin mereka itu akan berkhianat.

SEBAB-SEBAB PENENTANGAN JAHILIAH

Dalam sejarah mana-mana pun juga, biasanya mereka yang pertama-tama sekali menolak sesuatu gerakan pembaharuan ialah golongan bangsawan (Al-Mala’). Jadi untuk mengkaji kenapa timbul penentangan terhadap ajaran-ajaran Muhammad ini adalah sebenarnya untuk mengkaji kenapa golongan Al-Mala’ ini menolaknya. Bukannya tidak ada kalangan atasan yang menerimanya, seperti Abu Bakar AI-Siddiq, Usman Affan, Zubair Al-Awwam dan lain-lainnya, tetapi jumlahnya terlalu kecil berbanding dengan golongan kebanyakan (Jumhur) yang telah menyambut baik seruan Muhammad itu.

Ketika membicarakan sebab-sebab penentangan orang-orang Arab terhadap dakwah Islam, Syed Qutb sekali lagi menegaskan bahawa faktor AQIDAH-lah yang menyebabkan mereka menentang begitu hebat dan memeranginya habis-habisan. Ini kerana mereka cukup mengerti implikasinya bahawa pengakuan bertuhan itu bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah yang tertinggi. Mereka mengerti juga bahawa mengesakan Allah melalui ikrar LA ILAHA ILLALLAH (Tiada Tuhan melainkan Allah) itu adalah bererti mencabut semua sekali kuasa yang dibolot oleh penguasa-penguasa, ketua-ketua suku, para paderi dan pendita, dan menyerahkan kuasa itu kepada Allah sahaja. Mereka mengerti bahawa LA ILAHA ILLALLAH itu adalah merupakan cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi dan juga suatu pukulan maut ke atas sebarang peraturan dan kekuasaan ciptaan manusia selama ini!

Apa yang dikatakan oleh Syed Qutb tentang faktor AQIDAH itu pada hakikatnya adalah jua faktor politik. Penerimaan orang-orang Arab terhadap kekuasaan Allah bermakna kepimpinan mereka akan tercabar dan tergugat. Sebab itu pengaruh Islam harus disekat, agar pengaruh mereka masih tetap kukuh.

Dari segi politiknya, Islam terpaksa ditentang kerana ia dibawa oleh Muhammad dari keturunan Abdul Manaf. Sesungguhnya kaum Quraisy tidak dapat membezakan antara kenabian dengan kekuasaan. Bagi mereka, kemunculan Muhammad dari keluarga Abdul Mutalib dengan sendirinya akan mencabar kedudukan suku-suku lain yang telah sekian lama berebut pengaruh. Pernah terjadi ketika Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnas mengintip-ngintip Muhammad membaca AI-Quran, terus terang Abu Jahal mengakui betapa selama ini mereka saling menandingi pengaruh Abdi Manaf, tetapi bila mana kemenangan hampir terbayang, tiba-tiba di sisi Abdi Manaf muncullah Muhammad memaklumkan kenabiannya. Tidak, kami tidak akan percaya dan tidak akan membenarkannya, ujar Abu Jahal.

Sebagai golongan masyarakat yang mementingkan nilai-nilai ‘Asabiyyah’ (kesukuan), timbulnya Muhammad dari suku tertentu sudah tentu akan mencabar suku-suku lain. Justeru kerana semangat kesukuan inilah juga munculnya Nabi-Nabi palsu, baik ketika Muhammad masih hidup dan lebih-lebih lagi selepas wafatnya, semata-mata buat menandingi suku Quraisy. Maka tampillah Musailamah dari Bani Hanifah, Sajjah dan Bani Tamim dan Tulaihah dari Bani Asad. Semuanya ini kerana tebalnya semangat sukuisme serta hasad dengki antara mereka.
Dari segi sosialnya, Islam perlu ditentang kerana ia mengajarkan prinsip persamaan dalam kalangan sesama manusia. Dalam Islam, tinggi-rendahnya darjat insan diukur berdasarkan takwanya kepada Allah S.W.T. (Al-Hujurat: 13,Ali Imran: 76) atau amal solehnya (Al-Bayyinah: 7) Prinsip seperti ini tentunya bercanggah dengan sistem sosial mereka yang berasaskan konsep kelas dengan hak dan kewajipan yang berbeza. Status tertinggi selamanya adalah kepunyaan golongan bangsawan, sedangkan kelas terendah ialah golongan hamba abdi. Maka demi mempertahankan status quonya, Muhammad harus ditentang. Alangkah kejinya ajaran yang cuba menyamakan kedudukan mereka dengan kedudukan hamba mereka sendiri!

Pernah sewaktu Jabalah ibnul-Aiham, raja terakhir kerajaan Ghassan yang baru memeluk Islam sedang mengerjakan tawaf, terpijaklah tepi jubahnya oleh orang kebanyakan. Jabalah lalu memukulnya sehingga berdarah hidungnya. Setelah menerima aduan dari orang tersebut Khalifah Umar AI-Khattab lalu memutuskan agar Jabalah dipukul balas. Lantaran tidak puas hati terhadap corak penyelesaian yang ‘aneh’ itu, Jabalah kembali murtad. Ini menjelaskan suatu hakikat betapa pengaruh kebangsawanan itu begitu tebal hingga sukar bagi mereka untuk menerima Islam.

Apa lagi jika difikirkan yang agama tersebut dibawa oleh seorang anak yatim piatu yang tidak punyai kedudukan apa-apa dalam kalangan masyarakat Arab, sungguhpun ianya keturunan Quraisy. Pernah AI-Walid bin AI-Mughirah mengatakan: “Wahyu didatangkan kepada Muhammad, bukan kepadaku, pada hal aku kepala dan pemimpin Quraisy. Juga tidak kepada Abu Mas’ud Amr bin Umair AI-Saqafy, pemimpjn Thaqif. Kami adalah pembesar dua kota”‘.

Alasan lain yang dikemukakan oleh kaum bangsawan ketika menentang Muhammad ialah kerana ajaran Islam telah memecahbelahkan perpaduan masyarakat dan keluarga; baik antara orang tua dengan anaknya, antara suami dengan isterinya mahupun antara sesama saudaranya. AI-Walid bin AI-Mughirah sendiri pemah menuduh Muhammad itu sebagai ‘Sahir-bayan’ (Juru Pesona Bahasa), kerana apa yang dikatakannya merupakan pesona yang akan memecah-belahkan perpaduan sesebuah keluarga. Demikian juga hasrat Umar Al-Khattab untuk membunuh Muhammad mulanya adalah dengan harapan agar bebaslah Quraisy dan mereka kembali bersatu, setelah mengalami perpecahan dan penghinaan terhadap berhala-berhala mereka. Bahkan Utbah bin Rabiah secara terus terang berkata di depan Nabi: “Anakku, seperti engkau ketahui, dari segi keturunan, engkau mempunyai tempat dalam kalangan kami. Engkau telah membawa soal besar ke tengah-tengah masyarakatmu, sehingga mereka cerai-berai kerananya …”

Penentangan orang-orang Arab juga dapat dilihat dari aspek ekonomi. Kaum pemodal menganggap bahawa moral itu benar adanya bila mana ia dapat melipat-gandakan hartanya, bila mana ia dapat membukakan jalan buat hawa nafsunya. Tetapi bila mana ia menghalang hawa nafsunya, moral itu tidak lagi benar. Islam harus ditentang kerana ia melarang riba atau segala unsur putar belit dalam kegiatan ekonomi mereka. Tidak ada tempatnya Islam dalam masyarakat yang bebas lepas ini.

Dari segi lain pula, kemasukan golongan bawahan atau hamba abdi juga dapat menggugat kedudukan ekonomi mereka. Selama mereka mengharapkan tenaga kaum bawahan untuk kepentingan mereka sendiri, terutama dalam kegiatan perdagangan mereka. Tetapi dengan kemasukan mereka dalam Islam, hilanglah tenaga pekerja yang selama ini membantu mereka. Sebab itu Muhammad perlu ditentang, kerana dialah yang menyebabkan golongan hamba melarikan diri dari mereka.

Salah satu sumber ekonomi orang-orang Arab ialah memahat patung-patung berhala dan menjaga Kaabah di mana patung-patung itu diletakkan. Patung-patung itu kemudiannya akan dijual kepada jemaah-jemaah Haji yang mengunjungi Makkah. Malangnya Islam mengajarkan konsep Tauhid yang murni dengan membanteras sebarang bentuk penyekutuan terhadap-Nya, seperti menyembah berhala atau mengabdi kepada sesama manusia. Ajaran seperti ini tentunya mengancam ekonomi mereka, dan sebab itu perlulah ianya ditentang.

Penolakan orang-orang Arab juga disebabkan ketakutan mereka tentang adanya Hari Kebangkitan (Kiamat) yang kelak akan menghitung sepak-terajang mereka di dunia. Ini adalah persoalan moral masyarakat Arab, khasnya golongan bangsawan yang sudah tenggelam dan hanyut dalam kehidupan hawa nafsu. Bagi golongan seperti ini, ancaman (sanksi) adanya Hari Pembalasan tentunya sangat menakutkan, hingga kerana itu mereka menolaknya.

Faktor lain yang turut mendesak mereka untuk menolak dakwah Muhammad ialah perasaan cintakan tradisi nenek-moyang. Faktor adat yang ‘tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan'; bahawa segala sesuatu dan orang tua-tua semuanya baik belaka, semuanya ini menghambat mereka dari menerima Islam. Pernah ketika Rasulullah sedang sibuk berdakwah kepada jemaah-jemaah Haji dari luar, datanglah Abu Lahab menyahut dari belakang: “Hai manusia! Sesungguhnya lelaki ini memerintahkan supaya kamu meninggalkan agama bapa-bapa kamu”. Sambungnya lagi: “Hai keturunan polan! Bahawasanya lelaki ini hanya menyeru supaya kamu meninggalkan atau membuang berhala Lata dan Uzza dari leher-leher kamu. Kamu diajak olehnya untuk mengerjakan perbuatan Bid’ah dan kesesatan. Maka janganlah kamu mengikuti dia dan janganlah kamu mendengarnya!”

Satu sebab lain kenapa mereka menolak ajaran Islam ialah Iantaran takut dijajah oleh kuasa-kuasa besar, seperti Rom misalnya. Ajaran Islam membawa perpecahan masyarakat dan keluarga: Dan perpecahan-perpecahan ini akan memberi kesempatan yang baik bagi kedatangan kuasa penjajah. Memang benar bumi Hejaz yang gersang itu tidaklah dapat menarik perhatian mereka untuk menjajahnya. Mungkin dari segi ekonomi ianya tidak begitu penting, tetapi dari segi agama dan politik, penaklukan Rom akan mengukuhkan imejnya sebagai suatu kuasa Kristian dan sekaligus mencabar Parsi sebagai sebuah kerajaan Majusi. Kebimbangan terhadap kedatangan Rom ini memangnya berasas, memandangkan bahawa Makkah telah pemah diserang oleh Abrahah, Gabenor Habshah yang di bawah naungan kerajaan Rom.

Demikianlah antara lain sebab-sebab penolakan masyarakat Jahiliah Arab, atau lebih tepat penolakan golongan bangsawan (Al-Mala’) terhadap ajaran Islam. Ada pun golongan kebanyakan (Jumhur) mereka dengan cepat menerimanya. Ini kerana mereka tidak mempunyaf sifat-sifat yang ada pada golongan Al-Mala’ seperti takbur dan cinta kepada kedudukan dan kekuasaan.

Bila ada wujud rasa Tergugat, itulah, di banned, di GAM, di Halang
Semuga Larangan Allah itu Tetap menghalang peribadi yang hendak bertaqwa
itulah bezanya daripada peribadi Jahil, yang Menghalang Kebenaran Allah

No comments:

Post a Comment